Powered By Blogger

Khamis, 7 Oktober 2010

HADITH PILIHAN EMAS



SYIRIK !

Dari Abdullah r.a katanya:” Setelah turun ayat:’Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan penganiayaan...(hingga akhir ayat surah al-An’am:82) maka para sahabat merasa sukar memahami maksud ayat itu. Kerana itu mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w:”Siapakah di antara kami yang tidak pernah menganiayai dirinya?” Jawab Rasulullah s.a.w:”Bukan begitu! Maksudnya ialah sebagaimana diajarkan Luqman kepada anaknya, katanya:”Hai anakku! Janganlah kamu syirik (menyekutukan Allah), kerana syirik itu adalah aniaya besar".




RAHMAT ATAU LAKNAT
Dari ‘Atha’ bin Abu Rabah r.a katanya, dia mendengar Aisyah isteri Rasulullah s.a.w. bercerita:”Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah Rasulullah s.a.w sehingga baginda maju mundur (berjalan mundar-mandir). Apabila hujan telah turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan hilang kegelisahannya. Berkata Aisyah:”Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda gelisah sebegitu rupa.” Jawab baginda,:”Aku khuatir kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat". ( Muslim ).




BATAS-BATAS BERHIAS
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Allah s.w.t mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah s.w.t.". ( Muslim ). 


HATI YANG SELALU MUDA
Dari Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda". ( Muslim ).


ALAMAT MIMPI
Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:”Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebahagian dari 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis:(1)Mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, (2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya dari syaitan, (3) dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan jangan menceritakannya kepada orang lain'. ( Riwayat Ibnu Mas’ud ).


GOLONGAN YANG TIDAK DIPANDANG ALLAH S.W.T.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong". (
Muslim ). 


CIRI-CIRI ORANG MUNAFIK
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah )".  (
Ahmad ).


TANGGUNGJAWAB SOSIAL
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah s.w.t akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya". ( Abu Daud dan at-Tirmidzi ).


LARANGAN MEMINTA-MINTA MATI
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku". ( Bukhari dan Muslim ).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan